Aktivitiku 2002

Aktivitiku 2002
Tangga purba di Bukit Malawati, Kuala Selangor.
Showing posts with label Jabatan sejarah UPSI. Show all posts
Showing posts with label Jabatan sejarah UPSI. Show all posts

Wednesday, January 30, 2013

Perginya seorang arkeologis Malaysia

Assalamualaikum wbth, salam sejahtera, daa jia hao, vanekem.

Sebenarnya saya agak terlewat untuk menuliskan hal ini di sini kerana kekangan waktu yang sangat menghimpit. Saya merujuk kepada kepulangan Sdr Adi Taha (rahimahullah) ke pangkuan Allah buat selama-lamanya. Pertamanya saya memanjatkan doa semoga dia telah diampunkan oleh Allah sebelum ajalnya dan seterusnya rohnya ditempatkan di sisi orang yang mendapat rahmatNya. Di sini saya mengimbas sedikit sebanyak sejarah perkenalan saya dengan beliau. Saya mula terjun dalam bidang arkeologi ini secara serius pada penghujung tahun 1997. Waktu itu saya masih belum mengenali beliau. Bilamana saya selalu berada di kampus, setiap jumaat saya akan bersolat jumaat di Masjid Akademi Islam Universiti Malaya. Di sana saya sering bertemu beliau tetapi saya tak pernah tegur sebab saya tak kenal. Semasa saya dihantar oleh Leong Sau Heng ke Lembah Bujang pada September 1997 untuk belajar kaedah ekskavasi daripada Supian Sabtu juga saya masih tak kenal beliau. Begitu juga semasa saya mengikuti ekskavasi di Lembah Bernam pada November 1997 juga saya masih belum mengenali beliau. Hanya apabila saya menghadiri salah satu forum di Jabatan Muzium dan Antikuiti pada awal tahun 1998 dan Leong Sau Heng memperkenalkan saya kepada beliau, barulah saya realised bahawa itulah orang yang bernama Adi Taha. Dan, ketika itu dia juga cam saya. Dia kata "saya selalu berjumpa dengannya di masjid".

Alhamdulillah perkenalan pertama saya dengan arwah sebenarnya bermula di masjid meskipun kami tak pernah saling tegur-menegur tetapi sudah saling cam-mengecam. Perkenalan kami seterusnya menjadi lebih rapat apabila saya bersama Leong Sau Heng telah berjumpa dengan arwah di pejabatnya pada pertengahan tahun 1998 untuk memohon peruntukkan ekskavasi arkeologi di Gua Batu Tulug, Kinabatangan, Sabah. Alhamdulillah, ekskavasi tersebut telah berjaya dan sewaktu di lapangan, beliau telah melawat kerja-kerja penggalian kami.

Pada bulan April 2001, saya telah ditemuduga untuk jawatan kurator dan beliaulah yang menemuduga saya bersama seorang lagi pegawai di JPA. Kemudian pada 28 Julai 2011, saya telah melapor diri sebagai kurator di JMA dan orang pertama yang saya jumpa ialah arwah Adi Taha. Bermula dari itu dia menjadi bos saya. Sepanjang saya menjawat jawatan kurator, banyak pengalaman pahit manis bersama beliau. Satu perkara yang sangat tersemat di dada saya ialah, beliau seorang yang pemurah terutamanya hal duit. Kalau ada masalah duit sikit-sikit, arwah tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan. Pernah sekali seorang profesor dari Jepun datang ke JMA dan arwah meminta saya membawanya pergi melawat tapak di Melaka. Waktu tu saya tak banyak duit, dia hulurkan duit peribadi utk minyak dan tol tapi saya tolak. Bukan berlagak tetapi segan. Beliaulah yang bertanggungjawab membawa saya ke IPPA Congress di Taiwan pada tahun 2002, beliau juga yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mengetuai ekskavasi arkeologi di Kota Bukit Malawati, Kuala Selangor dan meluluskan peruntukkannya. Beliau juga yang menegur laporan saya sekembalinya dari Taiwan, untuk tujuan penambahbaikan dan banyak lagi yang tak mungkin dapat saya coretkan dalam ruang dan kesempatan yang singkat ini.

Sewaktu saya meninggalkan JMA, beliau bercakap kepada saya secara peribadi yang dia sebenarnya berat hati nak melepaskan saya tetapi beliau tidak ada hak untuk menghalang keinginan saya untuk beralih tempat kerja. Saya juga agak sedih pada ketika itu dan terus terang saya katakan, kata-katanya membuatkan saya serba salah dan dilema. Selepas saya meninggalkan JMA, beliau tidak melupakan saya, saya dijemput untuk bersama-sama menjadi penyelidik untuk mencari Kota Purba Lenggiu pada tahun 2004 dan kemudian mengikuti program Trans-border archaeology bersama kerajaan Thailand di Selatan Thai dan utara Malaysia pada tahun 2005. Lawatan IAAM ke Manila pada Julai 2009 yang lalu nampaknya menjadi program bersama kami yang terakhir. Berdasarkan kepada tindakannya kepada saya dan juga kepada kawan-kawan yang lain, saya tahu niatnya suci iaitu untuk melahirkan pelapis arkeologi di Malaysia melalui Jabatan Muzium dan Antikuiti atau JMM pada hari ini. Justeru, terserah kepada saya dan rakan-rakan yang lain untuk terus menapak maju ke hadapan sebagai arkeologis. Catatan dari seorang anak murid kepada gurunya.

Thursday, March 1, 2012

Aktiviti Khidmat Masyarakat oleh Fakulti Sains Kemanusiaan 2011

Asslamualaikum wbth, salam sejahtera, daa jia hao, vanekem, kotoluadan.

Saya nak post kan satu aktiviti yang telah dianjurkan oleh Fakulti Sains Kemanusiaan pada pertengahan tahun lepas. Aktiviti ni memang dah lama tetapi sebagai makluman, catatan sejarah dan juga rujukan kepada sesiapa yang ingin menjalakan aktiviti seperti ini. Mungkin ada di kalangan kalian di luar sana yang berminat untuk merancang dan melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat seperti ini pada masa akan datang. So, bolehlah tengok-tengok mana-mana yang boleh diambil contoh.

Aktiviti ini dijalankan pada 18-24 Jun 2011. Ia dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Tinggi dan pelaksanaannya telah dipertanggungjawabkan kepada Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Program ini telah melibatkan banyak pihak sama ada dari kalangan kakitangan dan pelajar FSK, UPSI sendiri dan juga jabatan-jabatan kerajaan yang lain di sekitar Perak terutamanya di Daerah Batang Padang. Terdapat juga kerjasama daripada Pejabat Daerah Raub terutamanya bila melibatkan aktiviti merentas banjaran Titiwangsa dari Kampung Ulu Sungai, Raub ke Pos Bersih, Ulu Slim. Alhamdulillah saya telah terlibat secara langsung dalam projek ini terutamanya dari segi logistik dan pengangkutan. Ia sangat menyeronokkan saya kerana dapat menggunakan kereta pacuan 4 roda (4X4) untuk mengangkut peserta ekspedisi yang keletihan. Ia juga dapat menguji kecekapan dalam pemanduan di jalan off road.

Bersemuka, beramah mesra dan bergaul dengan masyarakat Orang Asli sememang menjadi kegemaran saya. Mungkin kerana saya juga orang asli Sabah (Dusun bah). Cuma, pada penilaian saya, corak dan tahap pencapaian kehidupan mereka jauh tertinggal berbanding dengan suku kaum saya di Sabah. Ini tentunya memerlukan satu formula yang lebih kondusif dan sesuai dengan mereka sekiranya kita benar-benar ingin membantu mereka keluar dari lingkaran 'kemiskinan'. Ini tentunya boleh diperdebatkan.

Dari segi penilaian sama ada program ini berjaya atau tidak, sukar untuk saya berikan jawapan buat masa ini. Cuma kalau kita merujuk kepada matlamat program iaitu sekadar memberikan khidmat masyarakat buat sementara sahaja, itu memang tercapai. Walau bagaimana, sekiranya matlamat kita lebih jauh dari itu iaitu untuk membawa masyarakat Orang Asli ini sejalan dan seiring dengan penduduk Malaysia yang lain, caranya bukan sekadar program ini sahaja tetapi mestilah sesuatu yang bersifat long term. Dan hasilnya juga tidak akan kita temui dalam masa yang singat. Ia memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak terutamanya para pemimpin, pejuang hak asasi, cendekiawan dan yang paling penting sekali ialah di kalangan masyarakat Orang Asli sendiri. Selagi mereka tidak punya kesedaran, sukar untuk kita membawa perubahan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, kita tidak boleh meletakkan masalah ini kepada satu pihak sahaja, mungkin juga pendekatan kita salah, cara bekerja kita salah sehinggakan ia tidak berkesan, mungkin juga ramai yang buat kerja tak ikhlas 'asal dapat kerja dan dah ada gaji, sudah'. Sikap ini sangat buruk. Melarat pula saya ni, sedangkan saya sekadar nak berkongsi maklumat program ini sahaja sebenarnya.

Saya sangat gembira bila dapat bermain bola sepak bersama-sama dengan masyarakat Orang Asli di sini. Ia satu pengalaman yang sangat berguna. Pada hemat saya, mereka punya stamina yang baik, jauh lebih baik daripada saya dan juga rakan-rakan dari UPSI saya kira. Cuma, mereka tidak dilatih dengan baik. Saya percaya sekiranya mereka dilatih melalui satu program yang ikhlas, mereka boleh menjadi pemain bola yang baik. Mungkin melalui program sukan juga mereka boleh dibawa keluar dari kepompong kehidupan yang sempit. Ini cuma satu pandangan.

Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut dan saya mohon maaf sekiranya saya tertidak menjalankan tugas dengan baik. Mudah-mudahan Allah memberi pahala kepada setiap yang kita lakukan dan mengampunkan kesalahan kita yang tidak sempurna itu. Di sini saya tunjukkan sijil yang saya dapat daripada program tersebut. Bukan nak menunjuk-nunjuk tetapi nak dijadikan bahan bukti sahaja. heh eheehe. jumpa lagi, adios.

Contoh sijil penghargaan daripada KPT. Terima kasih KPT.

Tuesday, November 22, 2011

Lawatan Pelajar Minor Sejarah UPSI ke Lenggong

Alhamdulillah Jabatan sejarah telah berjaya menjalankan sebuah program lawatan ke tapak-tapak arkeologi di Lenggong pada 18-20 November 2011 yang lalu. Program ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada keperluan kursus untuk pelajar-pelajar minor yang mengambil kursus HSA 3023 - Asia Tenggara kurun ke-9 hingga 1800. Meskipun tapak2 arkeologi di Lenggong tidak mempunyai kaitan dengan kandungan kursus secara khusus tetapi memandangkan pelajar2 minor ini tidak mengambil kursus HSA 3013 - Prasejarah dan Protosejarah Asia Tenggara maka keperluan untuk meninjau dan melihat sendiri tapak2 arkeologi di Malaysia adalah penting kepada mereka sebagai bakal guru yang mengajar subjek sejarah nanti.

Program ini telah diuruskan dan dikendalikan oleh pelajar sendiri dengan bantuan daripada pensyarah dan alhamdulillah ia berjalan dengan lancar meskipun ada beberapa kekurangan seperti ketiadaan bekalan elektrik kerana generator kami tidak berfungsi dengan baik. Apapun, ia dapat dilalui dengan tenang dan mudah. Dalam program ini, kami telah berjaya melawat tapak Gua Gunung Runtuh, Gua Kajang, Gua Ngaum, Gua Puteri, Gua Gelap, Gua Dayak, Gua Teluk Kelawar, Bukit Jawa dan Bukit Sapi. Selain dari itu kami juga telah melawat Muzium arkeologi Lenggong pada hari pertama.

Selain daripada pelajar, program ini juga disertai oleh pensyarah dari Jabatan Sejarah iaitu Dr. Ahmad Zainudin Husin, Dr Adnan Jusoh dan saya. En. Kamaruddin Zakaria iaitu mantan Pengarah Arkeologi Malaysia semasa Jabatan Muzium dan Antikuiti masih wujud juga turut serta. Wakil dari Jabatan Warisan Negara juga hadir untuk menemani kami seperti Sdr Khairil Amri dan Abd Ghafar (Apai).

Tapak-tapak arkeologi di Lenggong sememangnya memberikan signifikan yang penting kepada zaman prasejarah Malaysia dan juga Asia Tenggara. Ia sangat sesuai sebagai tempat pembelajaran murid-murid sekolah, pelajar-pelajar IPT dan sebagainya kerana tapak-tapaknya yang tidak terlalu berjauhan antara satu sama lain. Ia terkurung dalam kawasan Lembah Lenggong itu sahaja. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak terutamanya daripada pihak Jabatan Warisan Negara yang memberikan kerjasama yang baik, Jabatan Muzium Malaysia (Wilayah Tengah), Jabatan Hutan yang menyediakan tapak perkhemahan kepada kami di Lata Kekabu dan juga semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Hanya satu perkara yang saya tak berapa selesa semasa berada di sana ialah saya terdengar cakap-cakap orang yang tidak mengizinkan untuk kami melawat tapak Bukit Bunuh. Entah apa sebabnya saya tidak tahu. Kehadiran kami sebenarnya bukan untuk merosakkan tapak. Saya juga terlibat secara langsung dengan dunia arkeologi, saya tahu cara penjagaannya, keperluan untuk menjaga dan memulihara. Tetapi, kenapa tidak diizinkan. Orang lain yang datang, orang kampung kah atau pelawat, boleh saja. Ada rombongan lawatan dari Sumatera datang ke sana dan boleh pula. Tapak tersebut tidak digazetkan hanya untuk orang tertentu sahaja. Dan, tidak juga dimiliki secara peribadi. Persoalan-persoalan ini membawa kepada macam-macam kemungkinan. Tetapi saya tidak mahu bersangka buruk. Mungkin kerana faktor keselamatan data, maka kami tidak diizinkan. Saya terima dengan redha tetapi pada pendapat saya, ilmu harus dikongsi dan untuk mengukur sesuatu kenyataan atau hasil kajian itu benar atau tidak, haruslah dibuka kepada penilaian orang lain juga. Tidak boleh dengan hanya sebelah pihak sahaja yang menilai kerana dikhuatiri akan bersifat sangat bias kerana kepentingan-kepentingan tertentu.

Apapun, secara umumnya saya berpuas hati dengan program ini. Sekali lagi ucapan terima kasih kepada pengarah program Sdri Nik Husni dan AJK nya kerana telah berjaya menyusun program dengan baik. Kepada semua fasilitator dan pembantu (helpers bukan helpless), terima kasih kerana sudi bersama-sama kami untuk menjayakan program ini, memasak dan merentungkan ayam (termasuk saya) untuk santapan pada malam itu. Semoga Allah merahmati kita semua dan bertemu lagi di lain program. Bersama-sama ini saya lampirkan beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan untuk kita semua. wassalam.






Yunus Sauman Sabin