Aktivitiku 2002

Aktivitiku 2002
Tangga purba di Bukit Malawati, Kuala Selangor.
Showing posts with label antikuiti. Show all posts
Showing posts with label antikuiti. Show all posts

Wednesday, January 30, 2013

Perginya seorang arkeologis Malaysia

Assalamualaikum wbth, salam sejahtera, daa jia hao, vanekem.

Sebenarnya saya agak terlewat untuk menuliskan hal ini di sini kerana kekangan waktu yang sangat menghimpit. Saya merujuk kepada kepulangan Sdr Adi Taha (rahimahullah) ke pangkuan Allah buat selama-lamanya. Pertamanya saya memanjatkan doa semoga dia telah diampunkan oleh Allah sebelum ajalnya dan seterusnya rohnya ditempatkan di sisi orang yang mendapat rahmatNya. Di sini saya mengimbas sedikit sebanyak sejarah perkenalan saya dengan beliau. Saya mula terjun dalam bidang arkeologi ini secara serius pada penghujung tahun 1997. Waktu itu saya masih belum mengenali beliau. Bilamana saya selalu berada di kampus, setiap jumaat saya akan bersolat jumaat di Masjid Akademi Islam Universiti Malaya. Di sana saya sering bertemu beliau tetapi saya tak pernah tegur sebab saya tak kenal. Semasa saya dihantar oleh Leong Sau Heng ke Lembah Bujang pada September 1997 untuk belajar kaedah ekskavasi daripada Supian Sabtu juga saya masih tak kenal beliau. Begitu juga semasa saya mengikuti ekskavasi di Lembah Bernam pada November 1997 juga saya masih belum mengenali beliau. Hanya apabila saya menghadiri salah satu forum di Jabatan Muzium dan Antikuiti pada awal tahun 1998 dan Leong Sau Heng memperkenalkan saya kepada beliau, barulah saya realised bahawa itulah orang yang bernama Adi Taha. Dan, ketika itu dia juga cam saya. Dia kata "saya selalu berjumpa dengannya di masjid".

Alhamdulillah perkenalan pertama saya dengan arwah sebenarnya bermula di masjid meskipun kami tak pernah saling tegur-menegur tetapi sudah saling cam-mengecam. Perkenalan kami seterusnya menjadi lebih rapat apabila saya bersama Leong Sau Heng telah berjumpa dengan arwah di pejabatnya pada pertengahan tahun 1998 untuk memohon peruntukkan ekskavasi arkeologi di Gua Batu Tulug, Kinabatangan, Sabah. Alhamdulillah, ekskavasi tersebut telah berjaya dan sewaktu di lapangan, beliau telah melawat kerja-kerja penggalian kami.

Pada bulan April 2001, saya telah ditemuduga untuk jawatan kurator dan beliaulah yang menemuduga saya bersama seorang lagi pegawai di JPA. Kemudian pada 28 Julai 2011, saya telah melapor diri sebagai kurator di JMA dan orang pertama yang saya jumpa ialah arwah Adi Taha. Bermula dari itu dia menjadi bos saya. Sepanjang saya menjawat jawatan kurator, banyak pengalaman pahit manis bersama beliau. Satu perkara yang sangat tersemat di dada saya ialah, beliau seorang yang pemurah terutamanya hal duit. Kalau ada masalah duit sikit-sikit, arwah tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan. Pernah sekali seorang profesor dari Jepun datang ke JMA dan arwah meminta saya membawanya pergi melawat tapak di Melaka. Waktu tu saya tak banyak duit, dia hulurkan duit peribadi utk minyak dan tol tapi saya tolak. Bukan berlagak tetapi segan. Beliaulah yang bertanggungjawab membawa saya ke IPPA Congress di Taiwan pada tahun 2002, beliau juga yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mengetuai ekskavasi arkeologi di Kota Bukit Malawati, Kuala Selangor dan meluluskan peruntukkannya. Beliau juga yang menegur laporan saya sekembalinya dari Taiwan, untuk tujuan penambahbaikan dan banyak lagi yang tak mungkin dapat saya coretkan dalam ruang dan kesempatan yang singkat ini.

Sewaktu saya meninggalkan JMA, beliau bercakap kepada saya secara peribadi yang dia sebenarnya berat hati nak melepaskan saya tetapi beliau tidak ada hak untuk menghalang keinginan saya untuk beralih tempat kerja. Saya juga agak sedih pada ketika itu dan terus terang saya katakan, kata-katanya membuatkan saya serba salah dan dilema. Selepas saya meninggalkan JMA, beliau tidak melupakan saya, saya dijemput untuk bersama-sama menjadi penyelidik untuk mencari Kota Purba Lenggiu pada tahun 2004 dan kemudian mengikuti program Trans-border archaeology bersama kerajaan Thailand di Selatan Thai dan utara Malaysia pada tahun 2005. Lawatan IAAM ke Manila pada Julai 2009 yang lalu nampaknya menjadi program bersama kami yang terakhir. Berdasarkan kepada tindakannya kepada saya dan juga kepada kawan-kawan yang lain, saya tahu niatnya suci iaitu untuk melahirkan pelapis arkeologi di Malaysia melalui Jabatan Muzium dan Antikuiti atau JMM pada hari ini. Justeru, terserah kepada saya dan rakan-rakan yang lain untuk terus menapak maju ke hadapan sebagai arkeologis. Catatan dari seorang anak murid kepada gurunya.

Thursday, July 28, 2011

Doakan kesihatan Dato' Adi Taha

Assalamualaikum wbth,

Teman-teman di luar sana, sama ada yang berkecimpung dalam bidang arkeologi mahpun permuziuman, di sini saya memaklumkan bahawa beberapa hari yang lalu Ybhg. Profesor Dato' Dr. Hj. Adi Hj. Taha telah dimasukkan ke dalam wad Hospital Selayang. Saya tak banyak tahu perkembangannya cuma berdasarkan kepada maklumat daripada FB beliau, beliau kini sedang beransur sihat. Saya mengajak teman-teman semua di luar sana supaya sama-sama mendoakan kesihatannya bertambah baik. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya ke atas dia dan juga kita yang mendoakannya.

Yunus Sauman Sabin
UPSI