Aktivitiku 2002

Aktivitiku 2002
Tangga purba di Bukit Malawati, Kuala Selangor.

Tuesday, November 22, 2011

Lawatan Pelajar Minor Sejarah UPSI ke Lenggong

Alhamdulillah Jabatan sejarah telah berjaya menjalankan sebuah program lawatan ke tapak-tapak arkeologi di Lenggong pada 18-20 November 2011 yang lalu. Program ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada keperluan kursus untuk pelajar-pelajar minor yang mengambil kursus HSA 3023 - Asia Tenggara kurun ke-9 hingga 1800. Meskipun tapak2 arkeologi di Lenggong tidak mempunyai kaitan dengan kandungan kursus secara khusus tetapi memandangkan pelajar2 minor ini tidak mengambil kursus HSA 3013 - Prasejarah dan Protosejarah Asia Tenggara maka keperluan untuk meninjau dan melihat sendiri tapak2 arkeologi di Malaysia adalah penting kepada mereka sebagai bakal guru yang mengajar subjek sejarah nanti.

Program ini telah diuruskan dan dikendalikan oleh pelajar sendiri dengan bantuan daripada pensyarah dan alhamdulillah ia berjalan dengan lancar meskipun ada beberapa kekurangan seperti ketiadaan bekalan elektrik kerana generator kami tidak berfungsi dengan baik. Apapun, ia dapat dilalui dengan tenang dan mudah. Dalam program ini, kami telah berjaya melawat tapak Gua Gunung Runtuh, Gua Kajang, Gua Ngaum, Gua Puteri, Gua Gelap, Gua Dayak, Gua Teluk Kelawar, Bukit Jawa dan Bukit Sapi. Selain dari itu kami juga telah melawat Muzium arkeologi Lenggong pada hari pertama.

Selain daripada pelajar, program ini juga disertai oleh pensyarah dari Jabatan Sejarah iaitu Dr. Ahmad Zainudin Husin, Dr Adnan Jusoh dan saya. En. Kamaruddin Zakaria iaitu mantan Pengarah Arkeologi Malaysia semasa Jabatan Muzium dan Antikuiti masih wujud juga turut serta. Wakil dari Jabatan Warisan Negara juga hadir untuk menemani kami seperti Sdr Khairil Amri dan Abd Ghafar (Apai).

Tapak-tapak arkeologi di Lenggong sememangnya memberikan signifikan yang penting kepada zaman prasejarah Malaysia dan juga Asia Tenggara. Ia sangat sesuai sebagai tempat pembelajaran murid-murid sekolah, pelajar-pelajar IPT dan sebagainya kerana tapak-tapaknya yang tidak terlalu berjauhan antara satu sama lain. Ia terkurung dalam kawasan Lembah Lenggong itu sahaja. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak terutamanya daripada pihak Jabatan Warisan Negara yang memberikan kerjasama yang baik, Jabatan Muzium Malaysia (Wilayah Tengah), Jabatan Hutan yang menyediakan tapak perkhemahan kepada kami di Lata Kekabu dan juga semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Hanya satu perkara yang saya tak berapa selesa semasa berada di sana ialah saya terdengar cakap-cakap orang yang tidak mengizinkan untuk kami melawat tapak Bukit Bunuh. Entah apa sebabnya saya tidak tahu. Kehadiran kami sebenarnya bukan untuk merosakkan tapak. Saya juga terlibat secara langsung dengan dunia arkeologi, saya tahu cara penjagaannya, keperluan untuk menjaga dan memulihara. Tetapi, kenapa tidak diizinkan. Orang lain yang datang, orang kampung kah atau pelawat, boleh saja. Ada rombongan lawatan dari Sumatera datang ke sana dan boleh pula. Tapak tersebut tidak digazetkan hanya untuk orang tertentu sahaja. Dan, tidak juga dimiliki secara peribadi. Persoalan-persoalan ini membawa kepada macam-macam kemungkinan. Tetapi saya tidak mahu bersangka buruk. Mungkin kerana faktor keselamatan data, maka kami tidak diizinkan. Saya terima dengan redha tetapi pada pendapat saya, ilmu harus dikongsi dan untuk mengukur sesuatu kenyataan atau hasil kajian itu benar atau tidak, haruslah dibuka kepada penilaian orang lain juga. Tidak boleh dengan hanya sebelah pihak sahaja yang menilai kerana dikhuatiri akan bersifat sangat bias kerana kepentingan-kepentingan tertentu.

Apapun, secara umumnya saya berpuas hati dengan program ini. Sekali lagi ucapan terima kasih kepada pengarah program Sdri Nik Husni dan AJK nya kerana telah berjaya menyusun program dengan baik. Kepada semua fasilitator dan pembantu (helpers bukan helpless), terima kasih kerana sudi bersama-sama kami untuk menjayakan program ini, memasak dan merentungkan ayam (termasuk saya) untuk santapan pada malam itu. Semoga Allah merahmati kita semua dan bertemu lagi di lain program. Bersama-sama ini saya lampirkan beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan untuk kita semua. wassalam.






Yunus Sauman Sabin